Archive for the ‘Tips’ Category

Rahsia Menang Pertandingan

Assalamualaikum & Salam Sejahtera.

1. Ya seperti yang saya janjikan kiriman kali ini akan membicarakan tentang beberapa teknik rahsia untuk memenangi pertandingan mewarna. Ada yang kata kalau hendak menang gunakan warna LUNA STAEDTLER (bukan LUNA MAYA ye). Soal medium warna ini saya telah jelaskan dalam kiriman lepas.

Bagaimanapun, Saya percaya semua yang hadir membawa anak ke pertandingan mewarna mesti menyimpan hasrat untuk menjadi pemenang dan seterusnya membawa balik hadiah. Betul tak?

2. Seperti yang saya jelaskan di dalam kiriman sebelum ini, teknik dan panduan yang dikongsi di laman ini adalah berdasarkan pengalaman serta pengamatan saya sendiri tentang kehebatan anak-anak Cina mewarna. Saya tidak mempelajarinya daripada mana-mana pakar melukis dan terpulang kepada anda untuk menilainya.

Apakah rahsia untuk menang pertandingan mewarna?

i) Jangan bergantung kepada bakat semulajadi semata-mata. Hantar anak-anak anda ke bengkel atau kelas mewarna. Kelas seperti ini penting kerana anak anda akan dapat belajar secara formal tentang asas warna, kombinasi warna  teknik sebenar mewarna. Lagi penting ialah anak anda akan dapat lebih pendedahan dan bertambah kreatif melalui pergaulan di dalam kelas. Seorang yang mempunyai bakat menyanyi tetap akan mengikuti beberapa sesi kelas vokal sebelum merakamkan album. Begitulah analogi paling tepat boleh saya sampaikan.

Percaya atau tidak? Hampir semua anak-anak Cina yang memasuki pertandingan mewarna belajar secara formal dalam kelas seni dan kraf semenjak usia tadika. Terdapat juga kelas seni yang lebih advanced yang mengajar teknik lukisan abstract bagi peringkat sekolah rendah (bukan peringkat kolej atau universiti). Saya pernah hadir membawa anak ke pertandingan lukisan abstract anjuran sebuah sekolah Cina beberapa tahun lepas. Peserta diberikan sehelai kertas lukisan kosong besar (hampir menyamai saiz kertas manila card). Kemudian  emcee  mengumumkan tajuk lukisan abtract pertandingan tersebut ialah “senyum”. Peserta dikehendaki menggunakan kreativiti sendiri untuk menggambarkan maksud tajuk tersebut di atas kertas lukisan.

Apa yang saya cuba sampaikan ialah bagaimana kita hendak menang kalau  hadir ke pertandingan tanpa sebarang latihan khusus … kit mewarna  pula hanya segenggam pensil warna “cap ayam” diikat dengan getah (bukan menghina tetapi sekadar membuka minda). Ada chance ke nak beat anak Cina?

ii) Peranan ibu bapa amat penting memberi sokongan 100% kepada anak. Latihan yang konsisten amat penting. Kanak-kanak selalunya cepat bosan kalau dilatih tubi setiap hari. Justeru saya mengambil jalan membawa ke anak-anak ke pertandingan mewarna sekerap mungkin. Kemenangan bukannya satu kemestian. Bagi saya kemenangan adalah bonus. Sekiranya ada pertandingan anak-anak akan mempunyai drive untuk berlatih sendiri. Kita perlu ingat ini hasil karya seni bukan bukannya kerja memecahkan batu di kuari… anak-anak juga perlu mood dan feel.

iii) Pertandingan mewarna bukan semata-mata penuhkan warna di atas kertas lukisan. Untuk menang lukisan anda mestilah mampu mencuri perhatian pengadil. Lukisan anda mesti berbeza daripada yang lain, unik serta nampak  “hidup”. Macam mana nak buat? Anda perlu tambah objek dalam lukisan.  Rahsianya ialah ajar anak anda satu set standard lukisan objek tambahan sebagai background. Pastikan semua objek tambahan tersebut boleh match dengan sebarang gambar objek lukisan utama. Mahirkan anak anda dengan lukisan objek tambahan tersebut dan dari masa ke semasa anda boleh ajar objek tambahan baru.

Ini adalah contoh kertas lukisan pertandingan mewarna. Hanya terdapat gambar beruang sebagai lukisan objek utama. Anda mesti penuhkan ruang di sekeliling dan latar belakang gambar beruang tersebut. Sebabnya ialah kerana anak anda hendak menang, lukisan akan nampak unik dan objek tambahan yang dilukis akan mengurangkan anak anda penat mewarna background putih yang besar.

Ini contoh gambar yang telah ditambah objek tambahan di sekeliling dan juga background objek lukisan utama. Bagaimana perasaan anda? Adakah perasaan anda sama sahaja apabila memandang gambar di atas yang di warna berbanding gambar ini? Susah ke nak lukis?

Tak susah sebenarnya kerana anak anda hanya melukis benda-benda yang biasa sahaja seperti di atas. Ibu bapa kena kreatif mencipa objek tambahan yang boleh dijadikan set standard untuk mana-mana lukisan. So bila sampai sahaja kertas lukisan pertandingan, anak anda hanya masukkan gambar-gambar objek tambahan yang anda telah set mengikut kesesuaian gambar… just fill in the blank. Mudah tak?

iv) Buat sedikit kajian tentang latar belakang penganjur dan juga penaja pertandingan mewarna. Ini amat membantu anda untuk meneka gambar lukisan yang bakal dipertandingkan. Contohnya jika penaja ialah SWAN STABILO gambarnya ialah kartun itik swan, DUMEX gambarnya ialah kartun ikan lumba-lumba dan NESTLEA gambarnya ialah kartun beruang. Anda juga boleh meneka gambar lukisan melalui tajuk dan tema hari penganjuran. Semua ini boleh dijadikan panduan dan secret recipe anda untuk memenangi pertandingan.

v) Bagaimanapun semua tips dan panduan rahsia untuk menang pertandingan mewarna di atas hanyalah bahagian daripada usaha kita dan selebihnya adalah soal rezeki. Kecantikan dan seni adalah sesuatu yang abstract. Cantik di mata kita tetapi tidak bagi para pengadil.  Kita tidak tahu background pengadil. Berapa ramai para penganjur dan pengadil mahir menilai seni dan tahu asas warna.  Itu belum lagi masuk isu-isu “politik”  lain seperti soal kroni…yang menang tu “orang-orang kita” je, pemenang mesti reflect konsep 1 Malaysia walaupun hakikatnya mereka tidak layak dan macam-macam lagi. Alahai …hadiah hamper pon sampai hendak dipolitikkan dan kesannya cukup besar kerana penganjur secara tidak langsung membunuh moral mereka yang bakat.

Kak Yong tengok budak yang menang tu warna tak campur dan tak tambah gambar pon. Macam mana dia boleh  menang?”, soal anak saya. Saya termenung panjang…tidak tahu bagaimana hendak menerangkannya kepada anak saya. Akhirnya saya akur tentang hakikat bahawa isu politik juga menjadi sebahagian daripada “unwritten topic” yang perlu anda terangkan kepada anak-anak apabila menyertai pertandingan mewarna :)

Ramai penganjur juga bacul kerana tidak berani mempamerkan lukisan yang dipilih sebagai pemenang. Mempamerkan lukisan para pemenang penting untuk anak kita menilai dan belajar teknik lukisan. Secara tidak langsung anak kita akan belajar appreciate seni orang lain dan tidak “syok sendiri”.

3. Jadikan pertandingan sebagai satu medan belajar bagi anak-anak kita. Menang adalah bonus. Anak-anak anda akan tertekan sekiranya anda terlalu mengharapkan kemenangan. Banyak nilai kehidupan yang anda boleh ajar sewaktu pertandingan begini contohnya hidup ini ada menang dan kalah. Kita tidak selalunya menang dalam semua hal. Ajar anak anda terima  kekalahan (setelah berusaha) dan bersyukur kepadaNya sekiranya menang.

Terima kasih.

Asyafi El-Muchtar

# # #

NOTA : Sekiranya maklumat di dalam artikel ini sedikit sebanyak memberi manfaat kepada anda, saya amat mengalu-alukan komen anda di bawah. Terima kasih.

# # #

Kit Mewarna

Assalamualaikum & Salam Sejahtera,

Mak…kita nak bawa apa ke pertandingan mewarna esok???

Ya, inilah soalan yang nampak remeh tapi penting diambil kira kerana peralatan yang betul antara faktor menyumbang kemenangan. Jom kita ceritakan satu persatu apakah kandungan “Kit Mewarna” yang perlu di bawa ke pertandingan mewarna.

1. ALAT TULIS

Alat tulis adalah perkara asas yang utama wajib dibawa seperti pensil, pemadam, pembaris dan kandungan yang berkaitan dalam kotak pensil. Terpulang kepada anda untuk bawa berapa banyak pensil atau pun kotak pensil ke hari pertandingan.

2. PENSIL WARNA ATAU KRAYON

Pastikan medium warna yang dibenarkan untuk pertandingan. Sekiranya pertandingan tidak menetapkan sebarang syarat medium warna, anda boleh campur krayon dan pensil warna (untuk gambar-gambar yang kecil).

Kualiti warna yang baik akan menentukan hasil yang terang dan lebih outstanding. Jangan gunakan pensil warna “Cap Ayam” kerana ia tidak menghasilkan warna yang dikehendaki. Untuk pensil warna, saya mencadangkan anda gunakan jenama SWAN STABILO JUMBO. Saiz pensil warna JUMBO yang besar memudahkan anak kita untuk memegangnya. Lead warna JUMBO yang besar dan tebal juga membantu anak kita mewarna dengan cepat.

Untuk menyerlahkan warna lebih mengancam, anda boleh campurkan  karya lukisan dengan pensil warna neon STAEDTLER. 6 batang pensil warna neon ini jika digunakan sebaiknya mampu untuk mencuri perhatian para juri …  markah bonus untuk anda yeahhh.

Bagi medium warna krayon, anda boleh menggunakan oil pastels atau krayon jenama STAEDTLER atau BUNCHO. Ini adalah pillihan yang biasa digunakan dan mampu menghasilkan warna yang terbaik. Terdapat pelbagai  jumlah kandungan warna dalam pek krayon tersebut untuk anda pilih mengikut budget.

Medium warna krayon juga mempunyai 12 batang kaler neon untuk menyerlahkan warna lukisan anda. Ya, warna neon ini amat membantu mencantikkan warna lukisan anda.

3. TUALA GOOD MORNING

Fungsi tuala good morning ialah sebagai lapik atas kertas lukisan bagi mengelakkan comot akibat geselan lengan terutamanya warna krayon.  Kadangkala peluh juga boleh merosakkan warna lukisan. Antara lain fungsi tuala good morning ialah untuk menutup karya lukisan daripada diciplak atau ditiru oleh peserta-peserta di sekeliling kita.

4. PENSIL 8B STAEDTLER

Pensil STAEDTLER 8B mempunyai lead atau mata besar berasaskan arang (charcoal). Fungsinya untuk lorekan outline disekeliling gambar semasa finishing. Amat sesuai untuk lukisan warna krayon. Ia secara tidak langsung menjadikan gambar lebih “hidup” dengan shadow hitam.

5. MEJA MEWARNA

Meja mewarna amat penting untuk keselesaan peserta. Kita perlu ingat pertandingan mewarna selalunya memakan masa di antara 1.30 – 2 jam. Meniarap atau duduk membongkok membuatkan peserta cepat penat dan memberi kesan kepada karya lukisan.

NOTA : Sekiranya maklumat di dalam artikel ini memberi manfaat kepada anda, saya amat mengalu-alukan komen anda di bawah. Terima kasih.

# # #

10 Tips Sebelum Pertandingan Mewarna

Assalamualaikum & Salam Sejahtera,

Berikut adalah 10 tips persediaan yang saya cadangkan anda lakukan sebelum menghadiri pertandingan mewarna (berdasarkan pengalaman saya sendiri);

1. Pastikan betul-betul tarikh  dan hari pertandingan. Jangan tersilap hari dan masa pertandingan.

2. Sekiranya anda tidak familiar dengan lokasi pertandingan, anda digalakkan untuk survey lokasi tersebut lebih awal. Saya pernah terlewat hadir kerana sesat mencari lokasi dan tidak dibenarkan menyertai pertandingan.

3. Hubungi penganjur pertandingan (selalunya nombor telefon penganjur  tertera di atas banner) untuk membuat pendaftaran penyertaan lebih awal (jika perlu). Kadang-kadang penganjur mengenakan bayaran penyertaan dan pendaftaran tidak diterima pada hari pertandingan.

4. Pastikan alat tulis dan peralatan mewarna siap disimpan di dalam beg khas. Pensil warna atau krayon perlu diasah secukupnya. Jangan buang masa mengasah pensil warna sewaktu pertandingan. Pastikan juga anda maklum syarat pertandingan untuk medium warna yang dibenarkan. Ada pertandingan mewarna mensyaratkan penggunaaan pensil warna jenama tertentu sahaja. Ini akan menjadikan anda kelam-kabut pada hari pertandingan.

5. Jaga mood anak-anak anda sebelum waktu pertandingan. Kurangkan masalah. Kejutan-kejutan atas kelalaian anda bakal mengundang masalah yang menggangu mood dan moral mereka. Hasilnya, lukisan tidak akan sempurna seperti yang dikehendaki.

6. Beri anak-anak anda makan dan minum secukupnya sebelum pertandingan. Pertandingan mewarna selalunya memakan masa selama 1 jam 30 minit hingga 2 jam. Tahukah anda? Mewarna memerlukan tenaga dan stamina yang tinggi. Saya selalu melihat peserta yang amat berbakat tetapi tidak mampu menghabiskan warna lukisannya.

7. Lazimkan membuat senaman ringan dan latihan yang berterusan untuk memantapkan skill dan stamina sewaktu pertandingan mewarna. Percayalah, tidak ada short cut untuk berjaya.

8. Jangan latih tubi anak-anak anda sebelum pertandingan kerana tindakan tersebut menyebabkan anak-anak anda tertekan dan hilang arah. Anda sebenarnya hanya membunuh bakat anak-anak anda dengan impian kemenangan.

9. Kenal pasti penganjur pertandingan dan buat sedikit kajian tentang logo, ikon, warna tema, tagline dan sebagainya. Kemudian gunakan kreativiti anda untuk predict apakah gambar lukisan yang bakal diwarna pada hari pertandingan. Jadikannya sebagai panduan anak-anak anda.

10. Selalu percaya dengan kemampuan anak-anak anda. Ambil posisi terbaik pada hari pertandingan dan tinggalkan mereka untuk selesaikannya. Jangan bantu mereka mewarna kerana anda tidak akan berada selamanya di sisi mereka untuk membantu . Biar mereka belajar sesuatu.

# # #

ikhlas…
Abu Syafi & Abi