Surat Terbuka Untuk MPM

Assalamualaikum & Salam Sejahtera,

Kepada :

Jawatankuasa Kecil Pelancongan Local Agenda 21 (LA 21),
Penganjur Karnival Rekreasi Pantai Teluk Batik.

1. Sekalung tahniah kita ucapkan kepada Majlis Perbandaran Manjung  (MPM) kerana melangkah setapak ke hadapan dengan pelancaran Amalan 5S dalam organisasinya baru-baru ini.

2. Inisiatif Jawatankuasa Kecil Pelancongan Local Agenda 21 (LA 21) Manjung, Majlis Perbandaran Manjung (MPM) menganjurkan menganjurkan Karnival Rekreasi Pantai Teluk Batik pada 17 Julai 2010 adalah satu usaha yang memang patut dipuji. Sebagai pihak berwajib, program sedemikian seharusnya dianjurkan dari semasa ke semasa bagi tujuan promosi  menarik pelancong ke Teluk Batik. Kehadiran pelancong secara tidak langsung akan menjana pendapatan kepada para usahawan kecil di kawasan sekitar.

3. Sebagai seorang pengunjung yang hadir pada hari karnival dan membawa anak menyertai pertandingan mewarna, saya terpanggil untuk memanjangkan beberapa isu berkaitan penganjuran karnival dari  kaca pandangan saya sendiri dan “cakap-cakap” pengunjung lain yang hadir pada hari tersebut.

4. Kecerian pagi karnival diiringi deruan ombak pantai Teluk Batik  dihangatkan dengan kata-kata tidak enak diluahkan oleh ibu bapa peserta pertandingan mewarna. “Inilah program pertandingan mewarna paling teruk pernah saya hadir”, kata seorang bapa yang juga seorang guru sekolah.

“It is really suck…the organiser doesn’t know how to organise the program”, sanggah seorang ibu berbangsa Cina yang hadir membawa anak lelakinya.

Ini adalah sebahagian kata-kata “ikhlas” diluahkan oleh pengunjung yang hadir menyertai program karnival tersebut.

5. Sebagai seorang yang berfikiran positif, saya cuba untuk memahami dan menyelami  situasi penganjur. Logik akal saya menafikan “cakap-cakap”  pengunjung tersebut kerana  MPM sebuah organisasi yang telah memenangi anugerah Kaunter Terbaik  peringkat negeri Perak 2010.  Perkara tersebut tidak mungkin berlaku. Bagaimanapun, akhirnya saya terpaksa mengaku dan akur dengan hakikat penganjuran program tersebut sememangnya kelam-kabut dan tidak profesional.

Pihak penganjur hanya memberi tumpuan kepada aktiviti  sukan (bola tampar pantai, bola sepak pantai dan bola jaring) dan melaksanakan program pertandingan mewarna seperti melepaskan batuk di tangga…asalkan jadi sahaja sudah. Saya berani mengatakan pertandingan mewarna anjuran Supermarket The Store atau Billion jauh lebih hebat dari segi pengurusan dan susun aturnya.

6. Untuk makluman tuan, lima (5) orang peserta yang hadir pertandingan mewarna hari tersebut boleh dikategorikan sebagai peserta tegar…yakni peserta tetap mana-mana pertandingan mewarna. Pertandingan mewarna sudah dijadikan aktiviti tetap mingguan kami. Sebut sahaja di mana …Insa’allah kami akan hadir jika tiada aral. Justeru, penganjuran sambil lewa dan “asal jadi” oleh pihak penganjur sememangnya tidak boleh diterima apatah lagi ianya dilakukan oleh pihak Majlis.

7. Kecelaruan penganjuran program pertandingan mewarna pada hari tersebut boleh dilihat dari beberapa sudut :-

>> Sepanjang pengalaman 6 tahun  saya tour membawa anak menyertai pertandingan mewarna di serata tempat, inilah baru pertama kali  saya temui pertandingan mewarna kategori umur 6 dan 7 tahun digabungkan sekali….sememangnya hari ini dalam sejarah. Kategori pertandingan mewarna biasanya dibahagikan seperti berikut : Kategori Tadika (5-6 tahun), Kategori 7-9 tahun dan Kategori 10-12 tahun.

>> Peserta yang mendaftar pertandingan mewarna terus diberikan kertas lukisan walhal pertandingan dijadualkan  akan bermula setengah jam lagi. Ini bertentangan dengan semangat pertandingan itu sendiri kerana ada ibu bapa yang “tolong lukis” bagi pihak anak-anak mereka.  Sepatutnya kertas lukisan hanya akan diedarkan setelah para peserta benar-benar bersedia duduk di tempat yang ditetapkan dan para ibu bapa berada di luar garisan ruang pertandingan.

>> Penganjur mengendalikan pertandingan secara remote…dj dari jauh mengumumkan pertandingan sudah bermula. Tiada usherette atau AJK yang memberi taklimat pertandingan.  Kami ibu bapa terpinga-pinga…masing-masing saling soal menyoal soalan-soalan berkaitan pertandingan. Berapa lama durasi pertandingan? “Pandai-pandai kita la … hentam je … seronok-seronok”, cakap seorang bapa peserta menenangkan keadaan. Ini bukan jawapan yang dikehendaki. Kalau nak seronok-seronok buat apa anjur pertandingan…baik tukarkan tajuk  acara seperti “Fun with Colors”. Betul tak?

Usherette atau AJK hanya datang setelah peserta mula mewarna dan semua muka usherette nampak blur je…tanya soalan apa pun tidak boleh nak jawap (soalan bayak kerana tiada taklimat). Nak cakap masa pertandingan sejam pun takut-takut. Boleh extend masa tak sebab kertas lukisan ni besar A3? Untuk kanak-kanak dalam usia tersebut kertas lukisan yang sesuai ialah bersaiz A4 sahaja. Penyampaian hadiah pukul berapa? Semua AJK terkebil-kebil … alahai … susah sangat ke soalan tu?  Saya tersenyum sumbing teringatkan satu kata-kata  … “Many people quit looking for work when they find a job”.:)

8. Pertandingan mewarna secara kasarnya nampak senang tetapi ianya tidak seperti yang disangkakan. Sistem pengurusan yang mantap dan sedikit asas pengetahuan atau pengalaman mengenai pertandingan yang serupa amat penting untuk melicinkan sepanjang acara.  Saranan saya supaya jenguk-jenguklah mana-mana acara pertandingan mewarna di supermarket The Store atau Billion … mungkin pihak tuan boleh belajar sesuatu untuk meningkatkan prestasi penganjuran pertandingan mewarna di masa hadapan.

ikhlas,

Abu Syafi El-Muchtar

2 Responses to “Surat Terbuka Untuk MPM”

  • assalamualaikum wbt

    Terima kasih diatas komen yang dibuat berhubung perkara ini. Selaku pengarah bagi keseluruhan program ini, saya terlebih dahulu memohon maaf diatas kelemahan dan kekurangan bagi penganjuran pertandingan mewarna tersebut.

    Tidak dinafikan bahawa pengurusan pertandingan yang baik adalah perlu bagi memastikan kelancaran program. Pihak saya juga telah mengadakan post mortem sebaik sahaja selepas program selesai dan sememangnya banyak kelemahan yang perlu diperbaiki.

    Oleh yang demikian pihak majlis mengharapkan penyertaan sukarelawan yang berpengalaman seperti saudara pada penganjuran akan datang. Pihak saya sentiasa membuka ruang dan peluang kepada saudara dan sesiapa sahaja untuk bersama menjadi sukarelawan bagi penganjuran acara-acara pelancongan dimasa hadapan insyaAllah.
    Salam hormat.

    Mohamad Sharil Bin Salihan
    Pengarah Acara Pelancongan
    Majlis Perbandaran Manjung.

  • Abu Syafi @ Abi:

    Insa’allah Team Conteng Dinding sedia membantu pihak tuan sekiranya khidmat kami yang tidak seberapa ini diperlukan. Terima kasih.

Leave a Reply